Tuesday, April 17, 2012

“Saya Sayangkan UNIC tetapi…” – Syed Azlan

Syed Mohd Azlan bukanlah nama baharu dalam industri nasyid Malaysia. Beliau pernah menganggotai kumpulan Rast yang bernaung di bawah Telaga Biru Sdn Bhd suatu ketika dahulu sebelum kumpulan itu dibubarkan. Tidak pernah kenal erti kalah, perjalanan seni Syed Mohd Azlan atau lebih mesra disapa Alan diteruskan apabila beliau menerima pelawaan daripada Hijjaz Records untuk menyertai kumpulan remaja paling popular ketika itu, UNIC. 

Tatkala namanya menjulang tinggi bersama UNIC, peminat dikejutkan dengan berita pengunduran Alan dari kumpulan UNIC yang sudah semakin sinonim dengan dirinya. Beliau memilih jalan yang sukar pada waktu itu demi kebaikan semua pihak dan segala desas-desus pengunduran Alan dari UNIC terus tinggal tanda tanya dikalangan peminat sehingga hari ini. 

“Sebenarnya Alan lebih suka pengunduran Alan dari UNIC dilihat sebagai proses berhibernasi. Alan keluar dari UNIC untuk merehatkan diri dan cuba melihat beberapa perkara dengan skop yang lebih besar dan luas. and now I’m back!” jelas Alan ketika ditemui di pejabat UNIC Group (M) Sdn Bhd di Prima Sri Gombak. 

Mengulas lanjut mengenai posisi beliau di UNIC Group (M) Sdn Bhd, Alan memaklumkan yang beliau menerima tawaran sebagai Ketua Pentadbiran dan Kewangan di syarikat itu setelah dipujuk oleh sahabatnya, Ahmad Fadzli Abd Aziz (Fadzli UNIC). 

“Fadzli datang jumpa Alan di Kajang dan kami berborak panjang mengenai perkara berkaitan UNIC dan akhirnya Fadzli mengajak Alan untuk bekerja bersama dalam UNIC Group (M) Sdn Bhd.” cerita Alan. 

Bukan mudah untuk seseorang yang sudah mempunyai pekerjaan yang tetap dibawah sektor kerajaan untuk melepaskan jawatannya dan menyertai sektor swasta yang penuh dengan cubaan dan risiko. Tetapi tidak bagi Alan. Tawaran yang dihulur oleh sahabatnya, Fadzli UNIC diterima dengan hati yang terbuka. Beliau tahu apa yang bakal beliau tempuhi, beliau lihat apa yang sedang menantinya dan beliau yakin dengan segala ketentuan Allah SWT. 

Ketika ditanya mengapa Alan yang menjadi pilihan, Pengarah Urusan UNIC Group (M) Sdn Bhd, Ahmad Fadzli Bin Abd Aziz menjawab ringkas, “Kerana Alan sayangkan UNIC sepertimana kami sayangkan UNIC.” 

“Alan memang sayangkan UNIC. Malah dari awal pembabitan Alan bersama UNIC, Alan cukup hargai ukhwah yang terbina diantara Alan dengan sahabat-sahabat dalam UNIC. Malah Alan cukup berat untuk undur diri dari UNIC satu ketika dahulu tetapi atas sebab-sebab tertentu, Alan terpaksa memilih jalan itu. Alhamdulillah, kini Alan kembali bersama UNIC melalui UNIC Group (M) Sdn Bhd dan Alan bertekad untuk memajukan syarikat bersama-sama dengan UNIC.” jelas Alan. 

“Syukur ke hadrat Allah SWT, UNIC semakin berkembang. Melalui UNIC Group (M) Sdn Bhd, Fadzli UNIC diamanahkan menguruskan syarikat sebagai Pengarah Urusan. Fadzli juga turut fokus dalam bahagian motivasi dan training melalui UNIC Nasyeed & Training. Bazli pula memilih untuk menguruskan kerja-kerja production memandangkan beliau cukup kreatif dan mahir dalam bidang itu. Fakhrul pula fokus projek program televisyen dan bakat baru.” 

Alan menambah, “UNIC Group (M) Sdn Bhd kini mempunyai 6 orang staff termasuk UNIC sendiri dan inshaAllah, kami dalam perancangan untuk menubuhkan satu lagi anak syarikat yang akan memberi fokus kepada cabang perniagaan baru yang akan diumumkan kelak.” 

credit :
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...