Monday, January 30, 2012

Kejayaan Adalah Milik Orang Optimis


KEJAYAAN adalah milik orang-orang yang optimis. Kita harus selalu optimis dalam meniti kehidupan ini. Jika kita mahu berusaha, betapa pun sukarnya halangan dan cabaran pasti ada jalan keluarnya. Ibarat air yang selalu mencari aliran meskipun di sana sini dibendung serta disekat. Kita harus belajar dari sifat air!

Mari kita ambil iktibar dari air. Salah satu sifat utama air ialah selalu dan tetap mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Jikapun kita cuba sekat aliran itu, pasti air itu berputar-putar mencari aliran. Waima sawang sekecil jarum sekalipun, air tetap manfaatkan untuk laluan aliran. Maka dengan sifat itu, tempat terpencil pun dapat diterokanya.

Sehubungan ini salah satu cara menyemai sikap optimis ialah dengan melihat segala sesuatu dari sudut yang positif. Kita digalakkan untuk menjadi orang yang berminda positif. Ya, ayo kita semua berminda positif!

Yakinlah bahawa setiap orang mempunyai potensi yang sama untuk berjaya, tetapi perbezaannya adalah hanya sebilangan kecil orang yang menggunakan potensi yang ada pada dirinya itu. Sebilangan lagi tidak memanfaatkan potensi yang ada kerana takut gagal. Dan sebilangan besar orang langsung tidak menggunakan potensi itu sama sekali. Makanya hanya sedikit sahaja yang berjaya. Ya, hanya sebilangan kecil saja!

Benarlah kata ilmuwan-ilmuwan Islam bahawa setiap orang pada dasarnya mempunyai potensi untuk berjaya. Sikap tidak berani mencuba, perasaan takut gagal, merasa tidak mampu, merasa terlalu muda atau sudah tua adalah fikiran-fikiran negatif yang membelenggu kita. Apakah anda tidak dikongkong oleh fikiran negatif?

Orang-orang yang optimis akan sentiasa memperbaiki mutu diri. Jika ia seorang penuntut atau mahasiswa maka ia tentu lutanan belajar agar memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi bagi menghadapi masa depan. Gigih berfikir.

Jika ia seorang penjawat jawatan awam, ia akan terus gigih berusaha meningkatkan kerjaya dan menunjukkan kebolehan serta kecekapan dalam berkerja. Jika seorang pedagang atau pengusaha maka ia akan berusaha meningkatkan mutu dagangan dan perusahaannya, contohnya menambah nilai-mutu produk, pengedaran yang cekap dan pantas, di samping sentiasa mesra pelanggan.

Lalu jika demikian, secara alamiah mereka berhak berharap dapat berjaya. Dan Allah pasti memberikan imbalan atas ketekunan hamba-Nya dalam berbuat perkara-perkara yang berkebajikan itu. Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

Sebagai seorang Muslim, kita harus yakin bahawa di dalam kesulitan itu ada kemudahan. Allah berfirman dalam Surah Al-Insyiraah ayat 5 dan 6 yang kira-kira bermaksud:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan.”

Saya beri contoh mudah, pergilah ke petak yang menjual buah-buahan atau sayur-sayuran. Terdapat penjual A yang setiap pagi sebelum mulai berjualan, terlebih dahulu membersihkan buah-buahannya atau menjirus sayur-sayuran itu dengan air. Buah-buah dan sayur-sayuran itu disusun begitu rupa bagi menarik minat pembeli, di samping sentiasa bersikap ramah kepada semua pembeli meskipun pembeli itu cuma menawar dan tidak jadi membeli.

Penjual A tetap bersikap mesra dan peka kepada para pembeli. Dia semacam menghormati para pembeli kerana dia amat faham bahawa para pembeli itu amat penting bagi melariskan barang jualannya. Apa hemat anda kepada penjual A ini?

Harapan penjual A tentulah agar barangannya laku dan disenangi pembeli. Nah, harapan ini memang wajar, ya memang patut, kerana dia berusaha. Penjual A itu berminda positif. Dia berikhtiar secara betul lalu digayutkan harapan yang tinggi. Nah, memang wajar!

Kemudian pergilah anda ke satu petak yang lain, yang juga menjual buah-buahan dan sayur-sayuran yang sama yang kita sebut sebagai penjual B. Penjual itu acuh tak acuh kepada pembeli. Barang jualan diletak tak menentu. Kata orang tua-tua, asal ada saja. Muka pun jarang tersenyum. Penjual B ini sifatnya apa?

Jika penjual B berharap agar jualannya cepat laku dan laris dibeli orang adalah merupakan angan-angan kerana penjual B tidak berusaha malah menampakkan sikap yang negatif. Harapan penjual B sebenarnya tidak sama dengan harapan penjual A.

Yakinlah bahawa selalu ada ikhtiar bagi orang yang mahu berusaha. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Orang-orang berminda positif tidak akan pernah menyerah dengan kaedaan.

Ia akan selalu mencari jalan keluar. Ia akan bertindak seperti air yang tidak mahu berhenti mencari aliran meskipun terdapat sekatan.

Nah, di sini diperlukan kecerdasan motivasi. Dalam setiap aktiviti dalam meniti kehidupan ini selalu ditemukan sebuah motivasi. Ketika kita hendak beribadah, menunaikan sembahyang kita mulai dengan sebuah motivasi yang jelas. Apa itu?

Motivasi yang jelas itu disebut dengan niat yang ikhlas. Kita beramal dengan suka rela, tiada paksaan dan tidak menceritakan kepada sesiapa pun. Itulah gambaran beramal dengan ikhlas. Cukuplah Allah Yang Maha Menyaksikannya, menilai dan memberikan balasan-Nya.

Nah, manusia ikhlas tidak mengharapkan pujian atas setiap amalnya. Baginya yang paling penting adalah reda Allah kepada-Nya. Perjalanan hidupnya jelas dan tegas. Langkahnya pasti dan penuh harapan. Tiada kata kecewa dan gagal dalam hidupnya. Tidak ada kata menyerah dalam usahanya.

Orang yang berminda positif itu sentiasa bersih dan tenang jiwanya. Orang yang bertakwa tidak terlintas langsung di hatinya sifat dengki. Orang berminda postif tidak suka memfitnah orang lain. Berfikiran positif juga tidak suka menyombong diri dan mementingkan diri sendiri.

Sombong tidak mendatangkan faedah, melainkan kebencian dan rasa mual orang. Biasanya, apabila seseorang bersikap sombong, dia akan bercakap secara keruan. Dia akan bercakap apa sahaja yang dia mahu cakap, tanpa mengambil kira implikasinya.

Hubaya-hubaya, orang yang mementingkan diri sendiri, lazimnya tidak mesra dengan orang lain, tidak ingin bekerjasama dengan orang lain. Mereka ini melakukan kerja semata-mata untuk kepentingan diri sendiri atau sekira-kiranya ada faedah kepada diri sendiri sahaja.

Mereka yang sentiasa berfikiran negatif selalu tidak mengambil kira pihak lain. Sikapnya terlalu nafsu-nafsi. Salah satu sikap yang perlu dikikis dari minda seseorang ialah sikap bodoh sombong.

Dalam kehidupan sehari ini terdapat sebilangan orang yang apabila sudah menjadi 'seseorang', sikap dan perangainya mula berubah. Perubahan ini sebenarnya tercetus hasil daripada bisikan hati yang sombong, bodoh atau degil.

Orang yang seumpama ini sesungguhnya mempunyai iman yang nipis. Mereka tidak bersyukur dengan apa yang diperolehi. Sikap ini adalah sejenis penyakit. Dan penyakit hati dan jiwa biasanya kurang disedari oleh diri sendiri.

Yakinlah! Orang yang bodoh sombong dan degil amat dibenci. Bila orang begini menjadi ketua, prinsip emosinya sendiri ialah 'cakap aku selalu betul, cakap orang lain semua salah'.

Kenapa? Sebab dia tidak dapat menerima pendapat orang lain waima dia sedar malah tahu bahawa pendapat orang lain itu lurus. Dan ini bukan namanya cekap berurusan. Ini bukan namanya kebolehan yang bijaksana. Bukan, ya bukan.

Orang akan hormat kepada diri kita jika kita terlebih dahulu menghormati orang lain. Tak payahlah membuat kesimpulan yang salah dengan mengharapkan orang lain menghormati kita tanpa menunjukkan sikap yang kita juga menghormati mereka.

Walhal hormat-menghormati itu adalah tindakan dua hala kerana semua orang adalah penting waima dia siapa, waima dia bukan 'seseorang'.

Jika kita sentiasa bersyak wasangka kepada orang, maka orang juga akan bersyak wasangka kepada kita. Lalu kalau keadaan ini terjadi, mudahlah wujud perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Sukar lahir hubungan mesra.

Lanjutan daripada itu ialah saling kata mengata dan saling tuduh- menuduh sekiranya timbul sesuatu masalah. Justeru, kita hendak orang berbuat baik kepada kita, kitalah terlebih dahulu berbuat baik kepada mereka.

Ilmuwan-ilmuwan Islam berkata bahawa mereka yang berminda positif adalah orang-orang yang terbuka fikirannya dan terbuka hatinya. Dia bersedia menerima kritikan-kritikan. Hatinya sentiasa lapang untuk menerima nasihat. Malah dia sentiasa membuka tangannya, yakni bersedia untuk membantu siapa yang memerlukan.

Panglima yang berlapang dada dalam sebuah pertempuran misalnya, akan bersikap pertengahan. Tatkala dia menang, dia tidak akan menjadi orang yang sombong dan degil melulu.

Dia tidak akan menjadi orang yang takbur, justeru kesannya melanggar nilai-nilai ketuhanan. Dan sebaliknya, ketika dia mengalami suatu musibah atau kekalahan, dia tidak akan kecewa atau menjadi stress selama-lamanya. Atau membenci orang-orang tentu atau institusi.

“Ketika mereka berjaya, mereka bersyukur dan ketika mereka gagal mereka akan bersabar.”

Nah, inilah ciri-ciri yang sangat dicontohi dari orang-orang yang beriman sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis. Yang pertama, ketika mendapat sebuah kebaikan, dia bersyukur dan atas dasar syukur itulah dia mendapatkan pahala. Orang yang bersyukur akan dilipatgandakan nikmatnya. Kemudian ketika dia mendapatkan suatu keburukan, maka dia akan hadapi dengan kesabaran, kerana itu adalah bahagian dari ujian Allah. Kesabaran itu juga akan mendapatkan pahala.

Jadi, sesungguhnya dalam kaedaan apa pun seseorang yang berjihad di jalan Allah, baik menang mahupun kalah, dia akan tetap menang jua. Kenapa? Jika kalah, dia akan bersabar. Dan jika menang, dia bersyukur. Kedua-duanya mendapat pahala. Tidak ada yang hilang bagi orang yang beriman.

Bukankah, dalam kehidupan ini, ada malam ada siang. Ada pasang, ada surut. Ada menang ada kalah. Ada tinggi, ada rendah. Dan Allah Subhanahu Wata'ala itu Maha Bijaksana.

Seorang individu, contohnya, tidak selamanya berada di atas. Dan tidak juga selamanya berada di bawah. Allah pergilirkan di antara keadaan itu. Begitulah juga, anak damit tidak selamanya menjadi anak damit. Dia akan meningkat dewasa, remaja dan berfikiran matang.

Kenapa? Jawabnya mudah, setiap manusia yang lahir ke dunia ini adalah bakal menjadi seorang pejuang. Pejuang! Ya, seorang pejuang. Kerana memang demikian sunatullahnya. Kita sendiri, ketika dilahirkan, adalah dalam keadaan berjuang.

Bayangkan, bagaimana mungkin sekian ratus juta sel sperma yang dipancarkan dari seorang lelaki (yang kita panggil ayah) hanya boleh dibuahi satu sel sperma di dalam ovarium (yang kita panggil ibu). Bukankah ini suatu tanda dan petunjuk jelas tentang perjuangan.

Ilmuwan-ilmuwan Islam berkata bahawa ketika anak damit lahir, kegiatan apa yang mula dilakukannya. Ya, menangis. Anak damit itu menangis. Menangis adalah aktiviti pertama yang dilakukannya. Adakah anak damit yang lahir tidak menangis? Tolong tanya kepada semua bidan. Lainlah jika anak damit itu sudah tidak bernyawa dalam rahim ibu. 

Bukankah kita maklum bahawa orang tua agak khuatir bila mendapati anak damit yang lahir tidak menangis. Orang tua akan rasa sedih jika tidak mendengar tangis ketika anak damit dilahirkan. Tapi sebaik mendengar tangis anak damit yang dilahirkan, orang-orang di sekeliling digamit bahagia.

Kita belajar dari sebuah peristiwa kehidupan bahawa kehidupan ini memang dipenuhi dengan pelbagai cabaran, yang secara sedar, kita akui sebagai suatu perjuangan. Jadi sesiapa yang tidak bersedia untuk berjuang, sesungguhnya dia sudah tewas sebelum sungguh-sungguh tewas.

Jadi, menangis bagi anak damit yang baru dilahirkan menggambarkan suatu kesiapsiagaan untuk berjuang. Menangis bukan suatu gambaran kekejutan semata-mata. Anak damit menangis ketika dilahirkan adalah suatu luahan perasaan jiwa bahawa dia bersedia untuk berjuang dalam menghadapi pertarungan kehidupan di alam maya ini.

Kita dilahirkan adalah untuk berjuang. Berjuang untuk melaksanakan cita-cita murni kita untuk menjadi makhluk yang berguna kepada agamanya yakni Islam, kepada bangsanya yakni Melayu dan kepada tanah airnya yakni Negara Brunei Darussalam. Kerana kita dilahirkan di bumi tercinta ini. Bumi Brunei Darussalam yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja. Dan setentunya jua kita bersepadu bagi menjadikan tanah air tercinta ini untuk menjadi 'Negara Zikir'. Ayo, kita sama-sama berdayung. Tingkatkan semangat juang agar bertambah kental! Kejayaan adalah milik orang yang optimis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...