Wednesday, August 24, 2011

Kopitiam Cipta Budaya 3 in 1

Dipetik dari : Majalah ILuvislam
Kemudahan Internet tanpa wayar (wifi) percuma sudah tentu menjadi faktor utama kopitiam lebih menjadi pilihan.

Bersantai atau mengikut istilah muda mudi melepak, di kopitiam memang in dengan masyarakat hari ini. Sehingga kini pelbagai jenama kopitiam muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan berikutan permintaan yang menggalakkan. Perniagaan yang dipelopori masyarakat Cina pada awalnya ini dikatakan wujud di Tanah Melayu sejak 1938 lagi. Dari situ budaya kopi semakin diterima dalam masyarakat, apatah lagi dengan kemunculan pelbagai jenama kedai kopi antarabangsa ke dalam negara.







Bercirikan ringkas dan santai, tidak kira golongan muda ataupun tua, kopitiam sering dijadikan ruang untuk bersosial. Selain itu kita bebas untuk duduk berapa lama walau dengan hanya modal secawan kopi. Sama ada bersama teman atau datang seorang diri, ada faktor-x tersendiri membangkitkan keghairahan pelanggan untuk terus datang ke sana.

Kemudahan Internet tanpa wayar (wifi) percuma sudah tentu menjadi faktor utama kopitiam lebih menjadi pilihan berbanding kedai mamak ataupun kedai kopi di tepi jalan. Bukan sekadar singgah untuk melepaskan ketagihan terhadap kelazatan kopi di situ, sambil itu juga boleh menyambung kerja-kerja yang tidak sempat diselesaikan di pejabat. Paling seronok boleh melayan komen-komen teman di facebook, sambil menikmati hidangan roti bakar bersalut kaya.
Namun begitu dalam kegilaan masyarakat terhadap kopitiam, masih ada yang ragu-ragu dengan kesahihan status halal di premis makanan seperti ini. Bagi indi-

vidu Islam soal makan minum bukan sekadar menepati selera atau mengenyangkan. Tetapi yang lebih penting adakah ia halal di sisi syariat?

Silap percaturan makanan dan minuman itu akan menjadi penyebab kita terhumban ke dalam neraka. Rasullulah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka neraka adalah tempat yang layak baginya.”

Reaksi tersebut mungkin timbul apabila menyaksikan pengusaha dan pemilik kopitiam sebelum ini rata-ratanya daripada golongan bukan Muslim. Memang akan timbul keraguan sedikit sebanyak walaupun label halal jelas tertera di pintu masuk kedai.
Menyedari sambutan terhadap konsep kedai sebegini lebih diterima umum, maka hari ini dilihat semakin ramai pengusaha-pengusaha Islam memilih untuk membuka beberapa cawangan kopitiam yang sesuai untuk pelanggan-pelanggan Islam.

Jadi, golongan pelanggan Islam boleh menjadikan kopitiam tersebut sebagai port untuk bersantai dan tempat pertemuan bersama teman-teman. Memang seronok apabila dapat melepak. Lebih seronok kita dapat melakukannya semua dalam satu masa. Sambil makan boleh bersembang. Sambil makan boleh melayari Internet. Itulah trend yang diciptakan melalui kopitiam. Di dalam kesibukan waktu, kita menjadi antara pengikut trend ini.

Namun ia perlu diingat ada batas yang perlu dijaga. Jangan terlalu ghairah bersembang hingga lupa tanggungjawab sebagai Muslim. Jangan menyalahgunakan segala kemudahan di kopitiam untuk kepentingan sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...